UNDIAN MAJORITI BERPIHAK PENULIS BARU
Jumlah keseluruhan undian Anugerah Novelis Pilihan UTW 2011 (ANP) pada tahun ini meningkat kepada 586 undi. Penganjuran ANP tahun ini dilihat mendapat sambutan memberangsangkan walaupun berlaku kesulitan yang tidak dapat dielakkan.
Maka, dengan jumlah peratusan 32%, UTW menobatkan Nurina Izzati sebagai pemenang Anugerah Novelis Pilihan UTW 2011! Tahniah kepada beliau!
Dengan kemenangan itu, Nurina mengenepikan tujuh calon lain termasuk pesaing terdekatnya yang merupakan bekas pemenang anugerah ini pada tahun lepas iaitu Hasif Hamsyari. Nurina mencatatkan undian tertinggi pada hari pertama dan ketiga undi.
Sementara itu, Hasif Hamsyari, calon yang diramal bakal mengungguli anugerah ini untuk tahun kedua terpaksa akur berada di kedudukan kedua dengan peratusan tidak banyak jauh dengan Nurina iaitu 29% dengan jumlah undi 171. Beliau mengungguli kotak undi pada hari kedua.
Di kedudukan ketiga, penulis baru, Shah Bakri muncul dengan peratusan sebanyak 16% dengan jumlah undian sebanyak 94.
Kedudukan seterusnya diambil Riha J, Haruno Hana, Farissa Hany, Izzah Haneefa dan Mira Muskam.
Anugerah Novelis Pilihan UTW 2011 menutup tirai di sini. Jika masih dipanjangkan umur, sama-sama kita menantikan ANP 2012 pula!
REAKSI
ANP 2011 BONUS 8A PMR NURINA IZZATI
Bagai mengulangi kejayaan berganda Hasif Hamsyari pada tahun lepas, Nurina Izzati juga baru-baru ini telah mendapat keputusan cemerlang 8A dalam PMR selain Anugerah Novelis Pilihan UTW 2011. Justeru, kemenangannya dalam ANP dianggap bonus sempena hadiah keputusannya itu.
"Mula-mula tahu berita ini saya agak terkejut kerana tidak menduga kemenangan ini. Saya fikir mungkin Hasif Hamsyari atau penulis UTW yang lain mendapat anugerah ini. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan terharu atas kemenangan ini. Dengan anugerah ini, saya rasa lebih diterima dan disokong ramai.
"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada setiap orang yang meringankan tangan masing-masing undi mengundi saya. Tidak lupa juga kepada mereka yang turut membuat promosi supaya mengundi saya. Terima kasih juga saya ucapkan kepada UTW kerana telah sama-sama berusaha menjayakan ANP 2011 ini.
Dengan kemenangan ini, tidaklah bererti saya boleh membanggakan diri sendiri. Penulis-penulis UTW yang lain juga sebenarnya layak mendapatkan gelaran ini. Saya percaya, mereka juga mempunyai penyokong yang ramai. Perjalanan kami keluarga UTW masih lagi panjang dan berliku. Tanpa sokongan anda semua, tidak mungkin kami dapat berdiri teguh seperti sekarang."
Sebenarnya bukan saya sahaja yang menang, keluarga UTW yang lain juga turut menang kerana masing-masing berjaya melakarkan kejayaan hebat tersendiri.
HASIF HAMSYARI SELESA DI KEDUDUKAN KEDUA
Ramai menyangkakan, termasuk di kalangan calon, Hasif Hamsyari bakal mempertahankan anugerah ini untuk tahun kedua. Walau bagaimanapun, nasib nampaknya berpihak kepada Nurina Izzati.
Komen Hasif, "Dari awal lagi, saya tidak meletakkan harapan untuk menang. Macam yang saya katakan, saya tidak ada buku diterbitkan tahun ini dan aktiviti penulisan saya juga berkurang. Jadi, berada di tempat kedua pun pada saya satu anugerah yang sangat tidak saya sangka.
Walau bagaimanapun, saya harus berterima kasih kepada setiap yang mengundi saya. Saya selesa di kedudukan kedua ini kerana saya menerima sokongan dan undian dari pelbagai negeri, malah melangkaui Indonesia. Seorang dua kawan saya di Indonesia turut mengundi saya dan saya berasa cukup terharu.
Malah, ramai juga yang mempromosikan saya di dinding Facebook masing-masing. Mendengar ada pengundi mengundi seawal dua tiga pagi. Ini semua bikin saya cukup terharu serta bangga dan untuk itu, saya bersyukur dan berterima kasih.
Kepada Nurina Izzati, tahniah untuk anda! Begitu juga kepada penulis-penulis UTW yang lain kerana pada saya, semuanya tetap pemenang. Dan kepada UTW juga, terima kasih kerana memberi peluang kepada kami untuk terus mendapat tempat di mata pembaca"
RIHA J ANGGAP SAINGAN CUKUP SENGIT
"Wah! Saingan yang cukup sengit sepanjang pertandingan berlangsung. Setiap penulis mempunyai kategori peminat dan pembaca dalam amaun yang cukup memuaskan.
Apa pun, tahniah kepada penulis-penulis yang telah menang. Tahniah tahniah tahniah! Semoga dengan ini nama penulis muda Malaysia akan terus masyhur di dalam negara mahupun di luar negara!" komennya ringkas.
FARISSA HANY SUDAH MENDUGA
"Sejak awal lagi Fatin sebenarnya sudah tahu bahawa pemenang bagi ANP tahun ini merupakan sama ada Hasif atau Nurina. Ini kerana kedua-dua penulis ini mempunyai pengaruh yang bukan sedikit dalam dunia penulisan.
Nama Hasif Hamsyari memang dikenali di pelusuk negara kerana dia merupakan seorang penulis remaja yang sangat berbakat. Peminatnya juga ramai, terutanya dari golongan wanita.
Nurina pula merupakan seorang penulis muda yang berbakat besar yang namanya sedang meningkat naik. Tambahan pula, Nurina turut ada mengeluarkan novel baru pada tahun ini. Ini menyebabkan para pembacanya mengundinya untuk ANP kali ini. Pada pandangan Fatin sendiri, Nurina memang sangat-sangat layak memegang anugerah ini. Di kesempatan ini juga, Fatin ingin mengucapkan tahniah kepada Nurina atas kemenangannya dalam Anugerah Novelis Pilihan 2011.
Fatin juga sudah tahu dari awal yang Fatin memang tidak akan menang pada tahun ini. Ini kerana aktiviti penulisan Fatin yang Fatin hentikan sementara pada sepanjang tahun 2011 untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan besar, SPM. Pada pendapat peribadi Fatin, keadaan yang sama turut berlaku kepada Haruno Hana dan Mira Muskam, memandangkan kami semua sebaya.
Tahniah sekali lagi kepada semua pemenang!
IZZAH HANEEFA ANGGAP SEMUA BERJAYA
Alhamdulillah. Apapun, tahniah buat semua novelis! Apapun keputusan anda, anda tetap telah berjaya di dalam bidang masing-masing. Harap-harap tahun depan ada lagi anugerah ni.
MIRA MUSKAM ULAS KEMENANGAN NURINA, HASIF DAN SHAH
Keputusan Anugerah Novelis Pilihan UTW 2011 ini tidak begitu mengejutkan kerana pada tahun ini memang terdapat beberapa orang penulis yang menghasilkan karya baru atau khabar berita baru yang mampu menarik minat pembaca untuk meminati mereka. Bagi pemenang tahun lalu, Hasif Hamsyari dilihat masih mempunyai bilangan peminat yang banyak kerana beza peratus yang tidak begitu besar antara pemenang tempat pertama.
Namun bagi pemenang tempat pertama, Nurina Izzati, sya melihat pada tahun ini beliau membuat begitu banyak peningkatan. Novel terbaru beliau, Idris dan Alif Ba Ta mendapat sambutan yang memberangsangkan dan beliau juga memancing perhatian para pelayar alam maya dengan menulis blog yang mempunyai pengisian yang begitu menarik untuk dibaca. Nurina Izzati juga baru-baru ini mencatat pencapaian cemerlang dalam kalendar 2011 nya kerana mendapat 8A dalam PMR.
Saya mendoakan agar kejayaan demi kejayaan sentiasa mengiringi setiap perkara yang penulis ini lakukan dan bagi pemenang tempat ketiga Shah Bakri yang baru sahaja menyertai UTW, semoga terus maju jaya kerana saya melihat masa depannya begitu cerah dalam bidang ini.